Kesimpulannya
Secara keseluruhannya, tahap penampilan akhlak pelajar dalam kajian ini
berada pada tahap yang tinggi. Ini menunjukkan media massa banyak memberi
pengaruh positif kepada pelajar dan mereka masih lagi dapat memilih antara yang
berfaedah mahupun sebaliknya. Namun begitu, terdapat beberapa item yang
dikemukakan dalam kajian ini perlu diberi perhatian oleh pensyarah, ibu bapa
dan pelajar sendiri kerana segelintir daripada pelajar mengakui bahawa mereka
juga turut terpengaruh dengan penampilan akhlak negatif hasil daripada bahan
rancangan media massa dalam negara. Justeru, item ini mungkin boleh merosakkan
akhlak, masa pelajar dan juga boleh menimbulkan perbalahan antara mereka
sekiranya tidak dibendung dengan berkesan. Di samping itu, dapatan ini juga
menunjukkan minat pelajar terhadap bahan-bahan media massa yang berbentuk
hiburan, humor, seram dan lucah boleh memberi kesan negatif kepada penampilan
akhlak sebagai pelajar. Walaupun hanya segelintir sahaja pelajar yang
terpengaruh dengan bahan rancangan media massa yang negatif namun keadaan ini
mungkin boleh menjadikan pelajar kurang sedar tentang matlamat sebenar mereka
berada di IPT. Oleh sebab itu, mereka perlu menyeimbangkan penggunaan teknologi
dan bahan media yang boleh merosakkan mereka supaya tidak menjurus ke arah
keburukan yang boleh menjejaskan identiti mereka sebagai pelajar IPT Malaysia
juga bakal menerajui negara pada masa akan datang.