Keburukannya
Biarpun terdapat beberapa
kebaikan media massa terhadap seseorang pelajar namun itu juga terdapat
keburukannya tersendiri.
Antara keburukan media massa adalah
penyumbang utama kepada keruntuhan moral di kalangan pelajar mahupun belia.
Program-program televisyen khasnya, lebih mementingkan hiburan daripada
maklumat. Tayangan-tayangan filem barat dan kini drama-drama Korea contohnya,
telah menolak unsur-unsur ketimuran yang sebati dalam jiwa masyarakat. Adegan-adegan
lucah hanyalah sebagai halwa mata bagi mereka. Jadi apabila filem tersebut disiarkan,
sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru etika pemakaian ataupun gaya dan
aksi artis pujaan (Idol) mereka. Secara tidak langsung, ianya mencetus kemelut
jati diri bagi remaja yang sedang mencari identiti seterusnya terlibat dalam gejala
negara luar.
Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Wan
Hamat, W.,N. et. al (2013) mendapati melayari laman sesawang merupakan aktiviti
yang paling digemari oleh pelajar- pelajar di sebuah institusi pengajian hanya
bertujuan untuk bersantai. Dari hasil kajian mereka juga dapat menunjukkan bahawa
pelajar telah menghabiskan masa mereka lebih daripada tiga jam dalam sehari untuk
melayari laman sesawang hiburan masing-masing contohnya; laman sosial seperti Facebook,
Twitter, Instagram dan sebagainya.
Namun begitu, perlu disedari bahawa generasi
muda mudah terdedah terhadap ledakan
maklumat daripada pelbagai sumber dan saluran yang
pelbagai berkemungkinan memberi kesan negatif jika tidak berupaya dikawal
dengan baik. Di samping itu, daripada kajian ini juga
menunjukan kandungan media massa yang paling diminati
oleh pelajar ataupun golongan remaja ialah bahan berbentuk hiburan. Ini
terbukti dengan hasil kajian yang dilakukan oleh Ab. Halim Tamuri et. al.
(2006); Shamsudin A. Rahim (2001) Mohd. Ali Iksan (2010) dimana hasil dapatan kajian
mereka menunjukkan bahan media massa berbentuk hiburan yang paling digemari
oleh remaja yang juga dikategorikan dalam kalangan pelajar. Di mana pengaruh
hiburan ke arah keseronokan menjadi pilihan utama masyarakat berbanding slot
agama dan wacana ilmu yang boleh menambah ilmu pengetahuan dan ini membuktikan
media massa sangat mempengaruhi tingkah laku, akhlak dan kehidupan sosial
mereka.
Selain daripada itu, keruntuhan hubungan
antara pelajar dengan rakan sebaya mahupun ahli keluarga mereka sendiri juga
akan berlaku. Ini kerana mereka terlalu banyak meluangkan masa mereka terhadap
media massa untuk hiburan sehingga mereka dah tiada masa untuk meluangkan masa
mereka dengan mereka. Oleh itu, pelajar tersebut akan menjadi kurang menghormati
dengan ibu bapanya sendiri kerana mereka sudah terjebak dengan jenis – jenis hiburan
yang tidak sihat contohnya menonton video yang ganas daripada Youtube. Apabila
mereka gemar menonton seperti itu, mereka akan turut serta mengikut aksi – aksi
yang ganas itu.