Pengenalan
Pada era globalisasi ini, media massa banyak memberi faedah kepada seluruh
masyarakat terutamanya berkaitan hal ehwal semasa, berita luar mahupun dalam
negara. Media turut memberi manfaat kepada perkembangan pendidikan masa kini.
Namun dalam masa yang sama media massa juga mungkin menyumbang ke arah kesan
negatif. Salah satu penyebab berlakunya keruntuhan akhlak remaja masa kini
adalah hasil daripada bahan dan rancangan media massa yang dipaparkan dalam
negara. Hal ini turut diakui
oleh Bushman & Heusman (2001) bahawa hasil penelitian para pengkaji
menunjukkan bahawa paparan media elektronik dan media cetak boleh mempengaruhi
tingkah laku golongan remaja yang juga dikategorikan sebagai pelajar.
Masyarakat Islam sering didedahkan dengan pelbagai maklumat yang kurang tepat,
palsu, menyeleweng seterusnya merosakkan minda serta menjadikan sejumlah
anggota masyarakat kita hilang jati diri dan keperibadian akhlak yang mulia.
Pelbagai konsep dan cara hidup seperti cara hidup ‘happy go lucky’ melepak,
mengunjungi pusat hiburan seks bebas dan sebagainya banyak disiarkan melalui
media massa.